KOTA BAHARU, 15 Mac (Bernama) -- Kejayaan Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, 18, anak seorang nelayan daif belajar mencatat keputusan cemerlang 20A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru lalu, mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.Pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Perempuan itu ditawarkan memiliki sebuah rumah bernilai RM130,000 dan wang tunai RM5,000.Sumbangan wang tunai itu disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang melawat rumah keluarga miskin itu di Kampung Parang Punting, Pengkalan Chepa, pagi ini.Tidak ketinggalan Umno Bahagian Pengkalan Chepa yang diketuai Dali Hussein, turut menawarkan rumah untuk disiapkan di tapak sendiri di samping membantu menjelaskan tunggakan sewa rumah yang didiami keluarga itu selama setahun.Ketika ditemui pemberita, Nik Nur Madihah yang bercita-cita menjadi ahli fizik berkata beliau turut menerima tawaran bantuan daripada institusi kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), MARA dan Petronas."Sebagai mensyukuri kejayaan ini, saya berpuasa sunat seminggu ini. Saya juga rasa amat terharu dan terhutang budi dengan pihak berkenaan yang memberi perhatian dan turut meraikan kejayaan saya ini," katanya.

0 comments