Showing posts with label Berita Malaysiana. Show all posts
Showing posts with label Berita Malaysiana. Show all posts


KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Mara menawarkan pinjaman penuh secara automatik kepada Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, 18, pelajar cemerlang yang memperoleh 20A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), untuk melanjutkan pelajaran peringkat A Level di London.Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar berkata Mara akan berikan tawaran secara automatik tanpa perlu melalui proses temuduga atau mengisi borang."Kita berikan kes istimewa untuk adik ini dengan terus menghantar beliau keluar negara untuk membuat A Level dahulu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen satu keluarga satu syarikat/perniagaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini."Bagi pihak kementerian kita ucap tahniah. Saya sendiri dah bercakap dengan Nik Nur Madihah, dah cakap dengan ayah dia dan pagi tadi saya bercakap pula dengan guru yang mengajar pelajar ini."Pelajar ini kita lihat datang dari keluarga yang miskin dan saya tengok pelajar ini cemerlang. Masa dia UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah), dia mendapat 5A, PMR (Penilaian Menengah Rendah) 9A, dan SPM 20A," katanya.Nik Nur Madihah anak seorang nelayan merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan mencipta sejarah memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM yang diumumkan Jumaat lepas dengan mendapat 19 1A dan satu 2A.Beliau pernah menjadi antara pelajar terbaik PMR peringkat kebangsaan 2006 selepas mencatatkan keputusan 9A.Noh berkata surat tawaran itu akan diserah kepada Nik Nur Madihah minggu depan.Beliau berkata mengikut sistem yang diaplikasi Mara, seseorang pelajar itu perlu mengikuti kursus A Level di dalam negara terlebih dahulu sebelum membolehkan mereka layak melanjutkan pelajaran ke luar negara."Tetapi oleh kerana adik Madihah (ini) pintar, yang luar biasa (dan telah) terbukti daripada dia kecil sampai besar, jadi dia mesti diberikan kelebihan. Sebab itu untuk adik Madihah saya bagi kelulusan khas untuk hantar terus ke London sebab dia kata dia minat nak belajar di United Kingdom."Kita akan usaha carikan dia tempat untuk buat A Level. Kita akan uruskan tempat dia belajar dan kita juga akan bagi pinjaman Mara untuk Madihah," katanya.Noh berharap kejayaan Nik Nur Madihah itu akan menjadi contoh terbaik untuk adik-adiknya sekaligus membolehkan keluarga itu keluar dari kepompong kemiskinan.


KOTA BAHARU, 15 Mac (Bernama) -- Kejayaan Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, 18, anak seorang nelayan daif belajar mencatat keputusan cemerlang 20A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru lalu, mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.Pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Perempuan itu ditawarkan memiliki sebuah rumah bernilai RM130,000 dan wang tunai RM5,000.Sumbangan wang tunai itu disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang melawat rumah keluarga miskin itu di Kampung Parang Punting, Pengkalan Chepa, pagi ini.Tidak ketinggalan Umno Bahagian Pengkalan Chepa yang diketuai Dali Hussein, turut menawarkan rumah untuk disiapkan di tapak sendiri di samping membantu menjelaskan tunggakan sewa rumah yang didiami keluarga itu selama setahun.Ketika ditemui pemberita, Nik Nur Madihah yang bercita-cita menjadi ahli fizik berkata beliau turut menerima tawaran bantuan daripada institusi kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), MARA dan Petronas."Sebagai mensyukuri kejayaan ini, saya berpuasa sunat seminggu ini. Saya juga rasa amat terharu dan terhutang budi dengan pihak berkenaan yang memberi perhatian dan turut meraikan kejayaan saya ini," katanya.