Sempena menyambut Maulidur Rasul

Posted by Laman SMPI '06/07 | 3/18/2009 06:26:00 AM | | 0 comments »


Oleh: Mohamad Hakim B. Hashim


Sempena menyambut Maulidur Rasul, Biro Tarbiyah, Disiplin dan Kerohanian SMPI bacth 06/07 terpanggil untuk menulis beberapa artikel untuk santapan rohani kepada kita tentang iktibar Maulidur Rasul. Maulidur Rasul merupakan satu pendekatan terbaik kepada bakal pendidik supaya merenung kembali sejarah kelahiran nabi yang merupakan satu tarbiyah sebagai pendidik. Seperti yang kita maklum bahawa pada 12 Rabiulawal 1430 bersamaan 9 March 2009 merupakan tarikh untuk memperingati kelahiran Rasulullah yang penuh bermakna kepada umat Islam.

Kelahiran dan Nama Muhammad

Para penulis sirah Nabi umumnya sepakat bahawa Nabi Muhammad lahir di Tahun Gajah 570 M. Adalah pasti bahawa baginda kembali ke sisi Allah tahun 632 M. Buktinya ketika itu usia Rasulullah adalah 62-63 tahun, ini bererti baginda lahir pada tahun 570 M.

Namun hampir semua ahli hadis dan sejarawan sepakat bahawa Nabi lahir di bulan Rabiulawal, walaupun mereka berbeza pendapat tentang tanggalnya. Ulama-ulama Ahlus Sunnah Wal Jemaah sepakat bahawa baginda lahir pada hari Isnin, tanggal 12 bulan yang sama.

Pemberian nama Muhammad pula rentetan daripada perayaan besar sebagai tanda kesyukuran kepada Allah akan kelahirannya. “Hari ketujuh tiba”, seekor domba disembelih oleh Abdul Muttalib sebagai ungkapan rasa syukurnya kepada Allah. Dengan itu dijemput semua orang menghadirinya yang terdiri kebanyakan orang Quraisy. Tika saat itu, Abdul Mutalib menamakan cucunya “Muhammad”. Ketika ditanya: “Mengapa ia menamakan Muhammad padahal nama itu jarang digunakan oleh orang Arab, Ia menjawab: “Saya berharap dia terpuji di syurga mahupun di bumi”.

Hal ini dijelaskan juga, Hasan bin Thabit berkata, “Khaliq mengambil nama Rasul-Nya dari nama-Nya sendiri. Dengan demikian, sementara Allah adalah Mahmud (terpuji), Nabi-Nya adalah Muhammad (patut dipuji). Jelas bahawa kedua-dua kata ini diambil dari akar kata yang sama dan mengandungi makna yang sama pula.

Berdasarkan kitab-kitab Suci juga telah meramalkan kedatangan Islam berikut nama serta tanda-tanda rohaniah dan jasmaniah yang khusus dari Nabi. Maka tanda-tandanya demikian jelas sehingga tidak muncul suatu kekeliruan. Salah satu tanda itu adalah nama Nabi. Dengan begitu, kemunculannya telah diramalkan dan di gembar gemburkan dalam Taurat dan Injil ini dapat dikenali dengan mudah. Al-Quranul Karim menyebut dua nama Nabi. Dalam surah Ali Imran ayat (138), Muhammad ayat (2), al-Fath ayat (29), dan al-Ahzab ayat (4), baginda disebut Muhammad, sedang dalam surah ash-Shaf ayat (6), baginda disebut Ahmad. Perbezaan ini, sebagaimana dicatat sejarah, adalah kerana ibunda Nabi sudah menamainya Ahmad sebelum datuknya menamai Muhammad.

Muhammad: Bila Kenal Bertambah Kasih

Semua umat Islam mengetahui bahawa Rasulullah saw merupakan insan yang mulia dan dimuliakan oleh Allah SWT. Dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menceritakan tentang Rasulullah saw, seperti dalam ayat 128 Surah al-Taubah, ayat 164 surah Ali ‘Imran, Surah al-Jumu’ah ayat 2, Surah al-Baqarah ayat 151, Surah al-Nisa’ ayat 80, Surah al-Anbiya’ ayat 107 dan banyak lagi.

Apabila al-Quran banyak menyentuh tentang Rasulullah, ini menggambarkan betapa hebatnya insan yang mulia ini. Namun, berapa ramaikah umat Islam dalam masyarakat kita yang benar-benar mengenali Rasulullah? Saban tahun majlis sambutan Maulidur Rasul biasanya akan disambut dengan begitu meriah dengan selawat ke atas nabi secara beramai-ramai, majlis berzanji, mengadakan jamuan makan dan sebagainya. Namun, secara sedar atau pun tidak, di sebalik kehangatan sambutan tersebut, berapa ramaikah yang benar-benar mengenali Rasulullah? Berapa ramaikah juga yang memahami isi kandungan berzanji yang dialunkan dengan begitu merdu yang menceritakan tentang kehidupan nabi itu? Sedangkan umat Islam mengetahui bahawa dengan kelahiran Rasulullah ke atas dunia ini, ia membawa sejuta rahmat kepada umat manusia keseluruhannya. Allah s.w.t sendiri telah menyatakan dalam al-Quran Surah al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud: ‘Tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam’.

Sesuatu yang tidak diragukan lagi bahawa Rasulullah s.a.w. telah diutus untuk memimpin ummah. Baginda merupakan contoh terbaik yang bersifat universal iaitu keseluruhan hidup Junjungan dapat dijadikan ikutan dan contoh di sepanjang zaman. Dalam hal ini, Allah s.w.t telah menyatakan dalam al-Quran, Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud : ‘Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu’.

Rasulullah s.a.w. adalah merupakan pemimpin ummah yang boleh diikuti dan dicontohi dalam segenap kehidupan; peribadi yang luhur dan murni, seorang manusia yang sentiasa menyeru kepada jalan Allah dengan penuh hikmah, seorang ketua negara yang mendayung bahtera pemerintahan dengan amanah dan cekap, seorang suami mithali, seorang bapa yang bijak menyempurnakan tanggungjawab terhadap anak, seorang sahabat yang setia, seorang jiran yang memahami jirannya, dan lain-lain lagi. Jelasnya, kepemimpinan Rasulullah terserlah dalam seluruh kehidupan baginda.

Di samping memiliki akhlak dan keperibadian yang tinggi, Rasulullah saw juga merupakan seorang insan yang mempunyai perawakan yang menarik dan cantik. Walaupun rupa paras bukanlah menjadi suatu tuntutan untuk diikuti dan diteladani kerana ia merupakan anugerah Allah SWT secara khusus kepada setiap makhluk-Nya, namun apabila dapat mengenali perawakan seseorang, maka akan bertambah rasa kasih dan dekat padanya. Justeru, pepatah Melayu telah menyatakan ‘Tak kenal, maka tak cinta’.

Mengenali perwatakan Rasulullah juga akan menghindarkan diri daripada tertipu dengan mainan dan tipu daya syaitan. Pernah kah kita mendengar ada orang berkata bahawa dia bermimpi bertemu Rasulullah? Memang bermimpi bertemu dengan Rasulullah merupakan sesuatu yang istimewa. Menurut para ulama’, terdapat tiga kategori bagi mimpi iaitu:

(a) Mimpi baik daripada Allah

(b) Mimpi buruk daripada syaitan

(c) Mimpi yang terjadi hasil fikiran yang menghantui diri mengenai sesuatu perkara.

Bermimpi bertemu Rasulullah termasuk dalam kategori yang pertama iaitu mimpi baik daripada Allah. Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, maka sesungguhnya benarlah dia melihat diriku kerana syaitan tidak dapat menyerupaiku’.

Namun, sesuatu yang harus diberi perhatian ialah walaupun syaitan tidak boleh menyerupai Rasulullah, tetapi ia boleh menyerupai manusia lain seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya, dan mendakwa sebagai Rasulullah. Justeru, untuk mengatasi masalah ditipu dan diperdaya oleh syaitan, maka umat Islam perlu mengenali perawakan dan rupa bentuk Rasulullah s.a.w.

Imam Abu ‘Isa Muhammad Ibn Isa al-Tirmidhi telah menyatakan bahawa adalah di luar kemampuan manusia untuk melukis gambaran mengenai rupa bentuk Rasulullah s.a.w. Namun begitu, para sahabat yang amat kasih dan cinta kepada Rasulullah telah sedaya upaya menggambarkan kepada kita tentang perwatakan Rasulullah s.a.w ini. Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa keseluruhan kekacakan Rasulullah tidaklah dizahirkan, sekiranya dizahirkan manusia tidak dapat menoleh sedikit pandangan pun ke arah baginda.

Telah dinyatakan dalam kitab al-Syifa Bita’rif Huquq al-Mustafa oleh al-Qadi ‘Iyad al-Andalusi bahawa terdapat hadis-hadis dan athar-athar sahih yang banyak didatangkan oleh para sahabat tentang perwatakan nabi s.a.w. Antara sahabat yang menceritakan tentang rupa bentuk Rasulullah ialah Ali Bin Abu Talib, Anas Bin Malik, Abu Hurairah, al-Barra’ Bin ‘Azib, Aisyah Ummul mukminin, Ibnu Abbas, Abu Tufail dan lain-lain lagi. Antara gambaran Rasulullah yang telah dinyatakan oleh para sahabat ialah kulitnya yang putih, mata yang cantik, rambut yang lebat, wajah yang bersinar, bulu kening halus memanjang hingga ke penghujung mata, hidung yang mancung, janggut yang tebal hingga ke dada, dada yang bidang, sederhana tinggi iaitu tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah, apabila bercakap seolah-olah cahaya keluar dari gigi baginda dan lain-lain lagi.

Iktibar Maulidur Rasul Satu Pendidikan

"Nabi Muhammad SAW bukan bapa seorang pun di antara laki-laki di antara kamu, tetapi beliau adalah Rasulullah dan Nabi penutup, dan Allah Maha Mengetahui atas segala sesuatu."

al-Ahzab : 40


Rasulullah SAW dilahirkan dengan keadaan yatim piatu. Sesudah itu datuknya pula meninggal. Peristiwa ini menyebabkan Rasulullah SAW hidup di peringkat kecilnya tanpa mendapat kasih sayang dari ibu dan jagaan serta perhatian yang sewajarnya dari bapa.

Kesemuanya ini bukan berlaku secara kebetulan sahaja tetapi segala-galanya ini adalah mengikut apa yang telah digariskan oleh Allah SWT untuk masa depan Rasulullah SAW. Hal demikian ini adalah sebahagian dari hikmat Ilahi, agar tidak sesiapa pun menaruh sangkaan buruk bahawa seruan Rasulullah SAW ini adalah dari ilham dan latihan ibunya semasa menyusu ataupun hasil dari tunjuk ajar dari bapa dan datuknya. Ini kerana datuknya 'Abdul Muttalib adalah manusia yang terkemuka di kalangan kaumnya. Hal ini berdasarkan, tanggungjawab beliau (Abdul Muttalib) dalam pembekalan makanan dan minuman untuk Para jemaah Haji.

Tetapi suratan Ilahi tidak membiarkan kesempatan kepada mereka yang ingkar dan bertujuan jahat, kerana Rasulullah SAW telah dibesarkan dan dipelihara jauh dari jagaan dan peliharaan ibu bapa. Demikian juga di masa Baginda masih bayi. Sebagai satu lagi hikmat Ilahi Baginda telah dikirimkan ke kampung di bawah peliharaan bani Sa'ad. Selepas datuknya meninggal dunia maka tanggungjawab memelihara terserah kepada bapa saudaranya pula, Abu Talib.

Sebagai kesimpulan kepada hikmat Ilahi tadi, disudahi dengan penolakan dan keengganan Abu Thalib menerima agama Islam. Ini bertujuan agar tidak disyaki orang lagi bahawa Abu Talib sedikit sebanyak memainkan peranan penting dalam usaha mengasuh Rasulullah SAW ke arah da'wahnya. Hal ini, kerana semuanya ini merupakan plot perkembangan yang berkaitan antara satu sama lain yang membawa kedudukan dalam puak kepada kedudukan di dalam kaum dan seterusnya kepada penganjuran yang lebih luas dan pangkat kedudukan yang lebih tinggi.

Kesimpulannya, beginilah arus nikmat Ilahi yang mahukan Rasulullah SAW hidup dengan keadaan yatim piatu. Hanya arahan dan jagaan Ilahi sahaja dapat menjauhkan tangan-tangan yang cuba memanjanya, menjauh wang, harta kekayaan dan yang cuba memewahkan kehidupannya. Ini berlaku supaya jangan timbul di jiwanya semangat kebendaan atau gilakan pangkat.

Rujukan

Al-Quran Al-Karim

Al-Qadi ‘Iyad, 1986, al-Syifa Bita’rif Huquq al-Mustaf. Cetakan Dar al-Faiha’, Amman, juzuk 1 (halaman 147-149).

Sejarah Umat Islam (Edisi Baru), Prof Dr Hamka, Pustaka Nasional Pte Ltd,

Cetakan Pertama 1994.

Fiqh Al-Sirah 1, Muhammad Sa'id Ramadan al-Buti, Dewan Pustaka Fajar,

Cetakan Ketiga 1988.

Kehidupan Para Sahabat Rasulullah saw, Muhamad Yusuf al-Kandahlawy, Pt Bina

Ilmu, Cetakan Pertama 1982.

1001 Duka - Himpunan Kisah-kisah Menyayat Hati, Muhammad Isa Selamat,

Darul Nu'man, Cetakan Pertama 1997.

http://sirah.online.com.

http://al-ahkam.com.my

http://media.isnet.org/islam/Haekal/Muhammad/

0 comments